Thursday, March 20, 2014

Kerahsiaan!!!

          Kerahsiaan merupakan satu isu yang amat sensitif. Ianya boleh membawa kepada persengketaan sesama sendiri. Boleh dikatakan pada zaman era globalisasi ini kerahsiaan tidak lagi dititik-beratkan oleh masyarakat tambah-tambah dengan kewujudan pelbagai media social seperti blog, facebook, twitter dan lain-lain. Adakah menjaga kerahsiaan maklumat atau sesuatu adalah perkara yang melecehkan? Mungkinkah ‘glamour’ (perhatian dari orang ramai) itu yang lebih dikejar dan diutamakan berbanding menjaga kerahsiaan?
          Pelbagai persoalan timbul dibenak saya apatah lagi sejak kebelakangan ini sudah menjadi trend dalam kalangan sesetengah masyarakat yang tanpa segan-silu berkongsi pelbagai maklumat yang tidak sepatutnya dikongsikan tanpa mengambil kira sensitiviti dan kerahsiaan.
          Sebagai contoh, baru-baru ini negara kita digemparkan dengan berita kehilangan pesawat MH370. Pelbagai ura-ura mengenai isu ini diperkatakan. Ada yang mengatakan pesawat tersebut telah terhempas dan ada juga yang mengatakan ianya telah melakukan pendaratan kecemasan. Wajarkah ianya dikeluarkan sedangkan kesahihannya belum terbukti. Tidakkah mereka terfikir apabila isu ini dikeluarkan tanpa bukti yang kukuh pelbagai persoalan akan muncul. Apa pandangan masyarakat sekeliling? Apa pandangan negara-negara luar? Tidakkah mereka memahami sensitiviti dan perasaan keluarga mangsa? Tanpa kita sedari, sifat rakus untuk berkongsi maklumat dan menjadi orang yang pertama mengeluarkannya menyebabkan kita mengabaikan perasaan orang lain terutama keluarga mangsa.
          Begitu juga dalam proses kaunseling. Etika kerahsiaan merupakan elemen yang sangat penting dalam menjalankan sesi. Menjaga kerahsiaan klien adalah merupakan tanggungjawab dan amanah bagi seorang kaunselor.
(Kod Etika B.1. Menghormati hak-hak klien)

          Mengapa kerahsiaan penting? Mungkin ramai yang tertanya-tanya. Kerahsiaan dalam kaunseling adalah penting untuk mendapatkan kepercayaan klien dan ini akan membuatkan mereka merasakan diri mereka difahami, dihargai dan berasa selamat untuk berkongsi.
          Namun begitu, dalam proses kaunseling, prinsip kerahsiaan boleh dikecualikan. Ianya tidak terbatas kepada perkara-perkara yang boleh mendatangkan kemudaratan kepada klien itu sendiri, kaunselor dan orang di sekeliling.
(Kod Etika B.2. Kekecualian)
          Secara keseluruhannya menjaga kerahsiaan amatlah penting kerana ianya mampu mengelakkan pelbagai isu timbul. Adalah menjadi tanggungjawab kita semua untuk menjaga kerahsiaan.




 by: Adawiyah Alijan

No comments:

Post a Comment