Wednesday, May 14, 2014

Coretan Rintihan Derita Seorang Insan

Bismillahirrahmanirrahim
Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani.

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera pembaca sekalian
Coretan rintihan derita seorang insan……
Derita, derita,derita
Makin lama makin aku derita. Jiwa dan jasadku semakin lemah, lemah dalam  membentengi noda yang tak henti  menerpa, yang tak henti  membasahi jasad dan jiwaku. Aku… aku sebenarnya sakit, sakit yang belum ku jumpa penawarnya. Sakit  itu seringkali menoreh belahan jiwaku yang masih baru bercantum, sakit itu juga buatku meronta dan merintih derita. Arhhhh sakitnya (berpeluk tubuh sambil menunduk). Saat hujan menembusi pipi, hatiku rapuh, hatiku membengkak, saat air mata membasahi wajahku,   aku menahan sakit yang tak seorang pun tahu. ku pendam, ku simpan….., ku simpan ia sehingga suatu saat aku sudah tiada daya, aku sunyi walau ribuan manusia ku temui, Aku sunyi walau dalam khalayak dan Aku juga sepi walau kedengaran bingitan  suara manusia.

Hanya aku yang mengetahui apa yang telah terjadi dalam hidupku… jiwaku sesak bagai dihimpit batu yang mengcengkam. Cengkaman itu membuat hatiku luka dan berparut. Dadaku dipenuhi lompong –lompong. Aku kini  tak punya siapa yang bisa melindungiku. Aku sendiri menempuhi derita ini. Aku juga sendiri berjuang di medan ini. Aku menanti Sang Perwira yang bisa membawaku keluar dari keadaan ini. Membimbing aku bagi memenangi peperangan ini. Sudah lama aku berjuang sendiri. Sudah lama aku simpan seorang diri. Aku penat, penat sekali menempuhi jalan ini. Jalan yang belum ku jumpa penghujungnya.

Aku membayangi lautan luas yang membiru sebagai penyejuk mataku tiupan angin redup mendatarkan kesegaranku dan pancaran mentari membawa kekuatan buatku. Kisahku menjadi tatapan seluruh buana. Aku si pencari cinta yang jalannya dipenuhi duri-duri tajam yang meletakkan aku diantara dua rasa, derita dan  air mata. Sepanjang jalanku ku temui suatu rasa. Rasa yang tak dapat ku ungkapkan dengan kata-kata, rasa yang tak dapat ku gambarkan dengan nada biasa. Setiap kali kali aku cuba menapak diatas jalan berduri itu, aku sering menoleh kekiri dan kekanan. Dalam diam hatiku bersuara alangkah indah andai ada yang bisa melihat kakiku yang sedang menapak ini. Darah yang mengalir, bisa yang meresap hanya aku yang sedar, hanya aku yang merasa. Ingin ku cerita pada yang ku percaya, namun sukar bagiku membuat ia percaya, membuat ia menerima dan memahami kisahku kerna kisahku itu melangkaui lumrah nuansa. Hari demi hari ku masih leka dan tak berdaya.
Sampai suatu saat nanti, aku sudah tidak tertahan lagi melalui semua ini. Aku bingung sendiri….Derita ini benar-benar buatku sakit, benar-benar buatku sengsara. Pernah hatiku berbicara dalam diam aku ingin menjerit sepuas hatiku aku ingin menerjah segala yang menyakiti,  ingin ku biarkan mereka dan teruskan hidupku … ahhh aku ingin melakukan itu tapi aku tak mampu kerna aku punya ikatan perjanjian. Perjanjian antara hamba dan Pencipta. Segala yang ku mahu tak semua akan ku bisa miliki, ada yang kukira baik untukku tetapi yang berlaku adalah diluar jangkauanku. Namun perancanganNya jauh lebih baik buat si hamba yang jahil.

Aku bicara dan meluah denganNya melalui hati. Segala yang berlaku antara aku dan dia adalah kusandarkan kepada keredhaanNya. Bagiku redha Sang Pencipta adalah segalanya. Penentu kebahagian, kesedihan, ketabahan dan kekuatan seseorang. Namun, hati ini juga kadang goyah, goyah dalam medan pertempuran dunia yang menusuk. Suatu ketika pernah sesekali aku terleka sehingga melupakan kehidupan yang lebih abdi. Ingin saja aku ucapkan sayonara pada si durjana itu…. Yang membuat hatiku goyah yang membuat jiwaku tak keruan.
Rentetan coretan hidup derita seorang insan….
Inilah aku yang tak semua tahu inilah aku yang tak semua kenal. Inilah aku seorang pencari cinta. Aku sanggup derita walaupun badai sering menerpa asalkan aku bisa bahagia asalkan aku bisa gembira dengan apa yang kupinta dengan apa yang dijanjikan untukku. Sudah lama aku pendam perasaan ini, sudah lama aku simpan dengan rapi yang menjadi rahsiaku dan kini saat aku menapak duri-duri itu dengan pimpinan tangan dari Sakinatul Hayyah. Gelaran ini kuberikan kerna dalam derita aku masih bisa tenang. 

Sang Pewira yang dimaksudkan adalah seseorang yang dapat membantu si Aku didalam nukilan ini keluar dari derita yang ia alami misalnya seorang kaunselor, rakan-rakan terdekat yang sentiasa ada saat susah dan senang, teman istimewa, suami atau isteri dan sebagainya.

Nukilan ini dicipta bagi menyatakan dan menggambarkan fitrah manusia yang saling memerlukan antara satu sama lain. Bagi penulis, seseorang manusia mempunyai dua sokongan dalam hidupnya. Sokongan daripada Tuhannya iaitu Sang Pencipta dan sokongan daripada sesama manusia di sekelilingnya.


Penulis ingin menyentuh berkenaan sokongan daripada sesama manusia iaitu kaunselor. Di sini kaunselor mengambil peranan bagi membantu seseorang individu yang mengalami kesempitan hidup dan menjadikan insan tersebut tertekan dan tidak mampu menahan lagi derita yang dialami dalam kehidupannya. Rakan pembaca sekalian tugas seorang kaunselor sebenarnya pelbagai.

Perhubungan menolong dilaksanakan oleh seorang kaunselor dengan sistematik menggunakan prinsip psikologi bagi menghasilkan perkembangan dan perubahan positif terhadap individu yang dibantu. Kaunselor biasa akan memberi gelaran kepada individu yang dibantu sebagai klien. Perhubungan antara kaunselor dan klien adalah secara professional dan kaunselor berperanan penting dalam membantu kliennya mencapai penyesuaian peribadi secara menyeluruh sepanjang hayat dengan hati yang rela untuk dibantu. 
Proses kaunseling dijalankan oleh kaunselor bagi membantu sesiapa sahaja yang datang dan meminta untuk dibantu. Sesi kaunseling merangkumi sesi secara individu, kelompok (perkahwinan, keluarga, rakan dan sebagainya) dan aktiviti bimbingan. Para pembaca sekalian anda semua usahlah khawatir kerana apa sahaja yang anda kongsikan bersama kaunselor pelatih adalah menjadi kerahsian. Terdapat akta yang melindungi anda semua iaitu Akta 580 Akta Kaunselor 1998. 
Kaunselor berperanan untuk membantu apa sahaja yang anda semua kongsikan bersama dengan mereka. Walaupun begitu, anda  perlu ingat bahawa kaunselor juga manusia biasa dan masing-masing mempunyai limitasi tersendiri. Mereka hanya mampu membantu sekiranya apa yang anda kongsikan itu dibawah bidang kuasa mereka dan sekiranya mereka tidak mampu untuk membantu anda mereka akan merujuk kepada kaunselor lain yang mahir dalam permasalahan ataupun isu yang anda kongsikan.
Rakan pembaca sekalian anda semua akan dilindungi dan barisan kaunselor dengan rela hati akan membantu anda sehingga anda mampu hidup dengan lebih tenang dan mencapai perkara yang hajatkan dalam kehidupan. Penulis memberi gelaran kepada seorang kaunselor dalam nukilannya Sakinatul Hayyah yang membawa maksud ketenangan hidup.
Akhir kalam buat pembaca yang disayangi, anda tidak sendiri dan anda juga berhak untuk hidup  bahagia. Setakat ini dahulu perkongsian daripada penulis harap semua pembaca mandapat manfaat. Sekian. 
 






Noor Syifaa Othman

FIKIRKAN PENYELESAIAN KEPADA SEGALA MASALAH DAN JADIKAN MASALAH SUMBER KEKUATAN DALAM KEHIDUPAN.

Gunakan umpan ikan yang kecil untuk tangkap ikan yang lebih besar. Jadikan segala pengorbanan itu terasa kecil supaya kejayaan yang lebih besar akan diperoleh (Habib Ali).

No comments:

Post a Comment