Saya ingin berkongsi cerita mengenai diri saya suatu ketika
dahulu. Dulu, saya merupakan seorang yang mempunyai keyakinan diri yang terlalu
rendah. Bahkan untuk berhadapan dengan sepupu terdekat juga saya merasa tidak
mempunyai keyakinan. Hal tersebut mula ‘menyerang’ diri saya ketika saya
berumur 9 tahun. Bayangkan seorang budak yang baru berumur 9 tahun mempunyai
sifat tersebut dan terpaksa berhadapan dengan situasi tersebut selama hampir 10
tahun.
Secara jujurnya, sukar untuk saya
mengatakan tapi saya ingin berkongsi dan semoga kisah ini dapat dijadikan
teladan.
Saya dilahirkan dalam keluarga yang sederhana. Saya
mempunyai ibu bapa yang hebat dan tiga orang adik beradik. Saya merupakan anak
sulung. Saya dibesarkan dalam suasana yang bersifat ‘pilih kasih’. Sebelum itu, antara semua sepupu
termasuk adik beradik saya, saya dilahirkan dengan kulit yang hitam dan yang
lain semuanya dilahirkan dengan kulit yang cerah. Semasa kecil juga saya pernah
mengalami kemalangan sehingga meninggalkan parut di dahi saya. Selain itu, saya membesar
dengan dikelilingi keluarga sebelah ibu yang agak berada dan bersifat
diskriminasi.
Hal-hal
tersebut secara tidak langsung telah menyumbang kepada sifat kurang keyakinan
diri yang wujud dalam diri saya. Hal tersebut berterusan sehingga saya
bersekolah di sekolah menengah. Di sekolah menengah, terdapat beberapa keadaan
yang saya lalui yang menambahkan lagi sifat kurang keyakinan diri saya. Di
sini, saya ingin berkongsi satu cerita yang berlaku semasa saya di sekolah
menengah. Saya berkawan dengan budak-budak yang pandai, berkulit putih dan
popular di kalangan guru-guru. Apabila bersama mereka, saya sentiasa menjadi
yang ‘terakhir’, guru-guru tidak mengingati nama saya. Sedikit sebanyak hal ini
mempengaruhi keyakinan diri saya. Saya merasakan bahawa saya tidak mempunyai
sebarang keistimewaan yang boleh saya banggakan serta yang boleh saya gunakan
untuk membangkitkan keyakinan diri saya. Parut yang ada di dahi saya sebenarnya merupakan perkara
utama yang menjadikan saya sangat malu untuk berdepan dengan orang lain.
Pengalaman
tersebut mendorong saya untuk mengambil kos kaunseling untuk membantu diri saya
sendiri dan yang paling penting saya ingin membantu orang lain yang mengalami
situasi yang sama kerana saya sangat-sangat memahami keadaan mereka. Setelah
bergelar sebagai mahasiswi di UNIMAS, saya berusaha untuk bangkit dan dalam
masa yang sama saya ingin membuktikan kepada individu-individu yang tertentu
bahawa saya seorang yang ‘HEBAT’. Saya
mencabar diri saya dengan mengikuti aktiviti-aktiviti yang akan membuatkan saya
berdepan dengan orang ramai kerana saya ingin membuang sifat kurang keyakinan
diri tersebut. Antaranya ialah, saya mengikuti persembahan dan pertandingan
untuk tarian, menjadi fasilitator buat pertama kali dalam hidup saya serta yang
paling hebat yang pernah saya lakukan adalah mewakili kos kaunseling dalam
peragaan iaitu menjadi model dan menjadi juara.
Hal
yang cuba saya tekankan di sini ialah, apa yang penting dalam hidup ini adalah keinginan kita sendiri untuk berubah dan menjadi lebih baik dengan
usaha kita sendiri. Selain itu, semasa berada di semester satu, saya telah
belajar tentang salah satu teknik yang ada dalam Cognitive Behavior Therapy iaitu melakukan kerja
rumah dengan mencabar dan mengambil risiko terhadap tahap kepercayaan diri
seseorang. Sebagai contohnya, diri saya sendiri yang mencabar keyakinan diri
saya dengan mengikuti aktiviti yang memerlukan saya untuk berhadapan dengan
orang ramai.
by, MIZJESS92
No comments:
Post a Comment