Monday, May 25, 2015

KAUNSELING DALAM ISLAM

“ Inilah jalan dakwah awak! Jika benar awak ingin membantu Islam, mengapa tidak membantu umat Islam mengatasi masalah mereka terlebih dahulu agar kamu dan  mereka bersama-sama dalam jalan Dakwah ini?”

Kata-kata yang dilontarkan oleh seorang pensyarah saat penulis meluahkan hasrat untuk menukar jurusan Kaunseling kepada Sains Biologi. Kata-kata itulah membakar semangat penulis dan menjadi pendorong disaat penulis merasakan tidak kuat untuk terus berada dalam bidang ini. Oleh yang demikian, entri kali ini, penulis ingin memperkenalkan apa itu Kaunseling Islam J

>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>> 

Di Malaysia pendekatan kaunseling adalah berasaskan amalan kaunseling dari Barat yang didapati kurang sesuai terhadap klien yang beragama Islam. Isu untuk mengkaji dan mengubahsuai amalan kaunseling barat ini pernah dicetuskan Halim (1986). Hassan Langgulung (1990) menjelaskan kaunseling barat tidak sesuai diamalkan di Malaysia kerana didapati banyak amalan yang bercanggah dengan nilai dan budaya tempatan yang melibatkan soal akidah, sosial, hukum-hakam dan pendidikan dikalangan masyarakat Islam.

http://mybookstore.usim.edu.my/
KONSEP DAN MODEL KAUNSELING ISLAM
          Konsep kaunseling Islam bukan sahaja meliputi konsep hubungan di alam nyata, namun melibatkan hubungan antara seorang kaunselor yang terlatih dengan klien yang mempunyai masalah psikologi seperti kemurungan, kecelaruan mental dan kecelaruan personaliti. Konsep ini juga menjangkau hal-hal yang dialami manusia selepas mati (alam akhirat) yang berkaitan dengan keimanan seseorang (kepercayaan kepada Tuhan, alam akhirat, pahala dosa, syura,neraka dan hari kiamat (Aziz Salleh, 1996).

             Dalam konteks kaunseling Islam, keputusan dan pemilihan klien hendaklah berdasarkan sumber Al Quran, hadis, sunnah Nabi dan ijmak ulama.  Dalam hal ini, kefahaman yang diterapkan menerusi kaunseling Islam ini bersesuaian dengan firman Allah SWT yang bermaksud:

‘Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati ‘.
(Ali Imran:185)

             Oleh itu pertolongan yang diberikan  oleh seorang kaunselor bukan sahaja merupakan nasihat, bimbingan, bantuan atau pertolongan untuk seorang klien untuk hidup sejahtera di dunia, malahan akan membawa kesejahteraan di akhirat.  Oleh itu, untuk menjayakan konsep ini kaunselor seharusnya mempunyai latar belakang pendidikan dan latihan berkaitan dalam bidang kaunseling dan agama, pengalaman yang luas dan sifat yang sesuai sebagai seorang kaunselor.  Hal ini demikian kerana dalam kaunseling Islam, kaunselor ialah tempat rujukan, rol model dan contoh yang terbaik sebagaimana sabda Rasullah SAW:

‘Sebaik-baik manusia ialah yang bermanfaat kepada manusia’.

PENDEKATAN KAUNSELING ISLAM

Perkara yang menarik minat penulis untuk mendalami ilmu Kaunseling Islam adalah apabila Othman Mohamed (2000) memperkenalkan Teori Psikologi ad Din sebagai suatu usaha memenuhi unsur spirituality dalam dimensi pendekatan teori kaunseling. Beliau mengungkapkan bahawa spirituality sebagai satu klasifikasi baru bagi mengatasi kekosongan ruang yang nyata dalam diri manusia.

Menurutnya, terapi Teori Psikologi ad Din bertujuan melahirkan suatu kesedaran baru dengan menggunakan tekad dan akal klien bagi menjana perubahan. Dalam proses Teori Psikologi ad Din, beliau menerangkan terdapat lima peringkat:

i.             Penerokaan dan kefahaman nafsu
Peringkat ini penting bagi menimbulkan keyakinan dan sokongan klien bahawa kaunselor mengambilberat terhadap diri klien.
ii.            Diagnosis
Kaunselor akan mengenalpasti gangguan masalah klien secara teliti dari aspek fikiran, emosi dan tingkah laku.
iii.          Penerokaan dan kefahaman berteraskan taqwa
Kaunselor meneroka gangguan masalah klien berdasarkan perbincangan, tunjuk ajar dan pemberian maklumat berteraskan taqwa.
iv.          Ikhtiar dan tindakan
Klien yang berjaya menangani masalah akan menghasilkan insan yang bersyukur manakala jika gagal, klien perlu mengulangi proses ini diperingkat diagnosis.

Othman turut menegaskan sebagai seorang kaunselor perlu memiliki sifat taqwa. Ini kerana taqwa terletak antara proses ikhtiar dengan tindakan teknik seseorang kaunselor. Oleh yang demikian, saranannya supaya seseorang kaunselor yang mahu memiliki sifat taqwa harus berpegang kepada ciri sidik, amanah, tablik dan fatanah.

KAUNSELOR ISLAM
Siapakah sebenamya kaunselor? Islam pada prinsipnya meransang Muslimin seluruhnya supaya menjadi kaunselor dalam apa jua jurusan dan perkara yang mereka tahu dan berkemampuan. Kaunselor dan perbuatan kaunseling adalah dipandang mulia oleh Islam. Kaunselor yang dianggap sebagai profesional ialah individu yang mendapat latihan dari segi teori dan praktik dalam bidang kaunseling. Sifat-sifat atau ciri-ciri kaunselor Islam dirujuk kepada sifat-sifat kenabian. Melalui sifat-sifat kenabian sahajalah seseorang kaunselor itu boleh memainkan peranannya dengan sempuma. Sifat-sifat yang wajib ada pada seseorang kaunselor ialah sidiq, amanah, tabligh dan fatanah. Rasulullah s.a.w. merupakan seorang kaunselor contoh yang harus diteladani oleh semua kaunselor. Berikut merupakan sifat-sifat dan konsep utama yang boleh menjadi landasan kepada tugas-tugas seorang kaunselor lslam:

Beriman dan bertakwa kepada Allah
Beriman dan bertaqwa kepada Allah merupakan asas peribadi yang mulia seseorang manusia. Dengan iman dan taqwalah seseorang kaunselor mempunyai keyakinan yang teguh dalam menjalankan tugas kaunseling.
Jujur dan Ikhlas
Jujur atau benar bermaksud, bertutur atau memberitahu atau membuat sesuatu dengan sebenarnya. Kaunselor perlu jujur dengan klien dan juga dengan dirinya sendiri.
Benar (sidiq)
Sifat ini menjadikan seseorang itu akan bercakap benar, berterus terang dan tidak
menambah atau mengurangi apa yang didengarnya. Benar bukan sahaja pada tutur kata tetapi juga daripada segi perbuatan dan niat.
Berani
Kaunselor perlu berani iaitu berani kerana Allah dan berani kerana hak. Beliau perlu berani menghadapi apa sahaja risiko dan rintangan meskipun mengancam nyawanya sendiri semata-mata kerana Allah.
Adil
Berlaku adil dalam berbicara, tutur kata, mengambil tindakan dan membuat keputusan, adalah amat dituntut. Sikap adil seseorang kaunselor menjadikan klien berasa puas hati, dihargai dan dihormati.
Pemurah dan ramah
Ketika menolong orang yang memerlukan bantuan, kaunselor haruslah mempunyai sifat pemurah dan ramah. Tutur kata yang sopan dan ramah serta air muka yang manis membuat klien rasa dihargai.
Sabar dan Tenang
Sifat-sifat ini penting bagi mengawal emosi dan keadaan jika timbul sebarang masalah, konflik dan ketegangan.
Adab dan Akhlak
Adab dan akhlak yang baik bagi seseorang ialah tidak berdendam, boleh memaafkan kesalahan orang lain, memberi salam dan menghormati orang lain. Jangan sesekali memalingkan muka ketika bercakap.

<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<<< 

Secara keseluruhannya, penulis ingin menyatakan bahawa bidang kaunseling ini sebenarnya tidak terlalu jauh dengan apa yang penulis inginkan sebenarnya terutama sekali apabila penulis menuntut di UNIMAS. Hal ini demikian kerana, UNIMAS mempunyai kelebihan dan keunikan yan mungkin tidak boleh didapati di IPT lain (pendapat penulis lahJ). Gabungan 3 elemen yang diterapkan di kursus Kaunseling di UNIMAS iaitu sains kognitif, pembangunan manusia dan juga teknologi maklumat membuatkan penulis merasakan kesinambungan dalam bidang sains dan juga keperluan manusia. Malahan, kaunseling Islam menjadi tarikan penulis kerana, penulis mampu menghayati ayat-ayat Al Quran yang sudah jelas menyatakan bahawa fenomena kaunseling sudah dimulakan sejak dari zaman Rasulullah s.a.w. lagi. Hal ini membuatkan penulis sedar bahawa bidang ini menjadi keperluan untuk masyarakat sekarang dan Alhamdulillah penulis telah mengaplikasikan sedikit sebanyak ilmu ini didalam beberapa sesi yang penulis kendalikan. Sekian.

Coretan dari,
Khalish Binti Khairi (41683)


RUJUKAN:
Abdul Halim Othman. 1986. ‘Beberapa isu kaunseling barat dan implikasinya terhadap praktik
              kaunseling di Malaysia’. Kertas kerja dibentangkan di Seminar Kaunseling, Universiti Kebangsaan Malaysia.
Hassan Langgulung. 1990. ‘Kaunseling dalam masyarakat islam’. Kertas kerja dibentangkan di Seminar Kebangsaan Kaunseling dalam masyarakat islam, YADIM, Kuala Lumpur.
Aziz Salleh (1996), Kaunseling Islam Asas, Kuala Lumpur: Utusan Publication.

Othman Mohamed. 2000. ‘Prinsip psikoterapi dan pengurusan dalam kaunseling’. Serdang: Penerbit Universiti Putra Malaysia.



3 comments:

  1. Maklumat yang sangat jelas. Sungguh tidak sangka, ilmu islam pun boleh diterapkan didalam kaunseling.

    ReplyDelete
  2. Perkongsian yang menarik dan bermanfaat. satu pesanan kepada penulis agar berhati-hati untuk tidak mencuba menerapkan value sendiri terhadap klien atau countertransference. All the best!

    ReplyDelete
  3. Perkongsian yang sangat bermanfaat untuk kita semua.. :)

    Nor Aisha
    42798

    ReplyDelete